Friday, August 28, 2015

QUICHE ASPARAGUS SOSEJ


LAMA tidak bersesiaran resepi. Kerana terlalu banyak upload gambar, kuota dataline habis. Kena tunggu lagi sampai 1hb baru ada balik. Nak top up takde budget la pula huhu.

Nasib baik orang rumah jarang pakai dia data line dia. Jadi bila malam ada peluang guna. Yo la, dia maacam tidak guna langsung so dari membazir baik saya yang guna hehe.

Untuk kali ini saya nak kongsikan resepi quiche yang saya buat bulan lepas tetapi tidak sempat di upload disini lagi.

Untuk yang ini saya guna resepi crust keju. Sedap sangat tetapi terlalu rapuh jadi rasanya lebih sesuai untuk hanya dihidangkan dirumah. Sebab kalau dibawa jauh mungkin akan berkecai didalam perjalanan.

Bila potong dan angkat berhati-hati kedalam pinggan kalau tidak akan bersepah di
atas meja. Amaran telah dikeluarkan :)




QUICHE ASPARAGUS SOSEJ (BroZam)

Bhn2nya:


2 sb mentega
1/2 cawan bawang besar - dihiris
4 ulas bawang putih - dihiris
2 btg sosej - dipotong nipis
1/2 cawan lobak manis - dipotong nipis
1 cawan asparagus - dipotong lebih kurang 4in setiap satu
1/4 cawan cheddar cheese parut
3 biji telur
1/4 cawan susu
daun bawang/kucai, garam dan lada hitam secukupnya

Crust Keju:

3/4 cwn tepung gandum
6 sb mentega sejuk, potong kecil2
1/4 cwn cheddar parut
5 sb air sejuk

Cara2nya:
- Mula-mula kita buat crust keju
- Dalam mangkuk besar masukkan tepung. Tambah mentega sikit2 dan gosok dengan tangan sampai berbentuk macam serbuk roti.
- Masukkan cheddar dan gaul sebati
- Masukkan air sedikit skit sehingga boleh dibentuk seperti bebola. Balut mangkuk dengan plastic wrap. Simpan dalam peti ais sekurang2nya 30mins.
- Panaskan oven 190C dan bakar dalam 10mins.
- Keluarkan doh dan guna rolling pin utk ratakan doh. Angkat dan letakan dalam 9in loyang pai. Cucuk-cucuk bahagian bawah dengan garfu.
- Bila dah masak, keluar dan sejukkan sebentar. Jangan tanggalkan crust dari loyang. Sementara itu boleh buat intinya.
- Panaskan oven 180C.
- Untuk inti, cairkan mentega menggunakan kuali non-stick. Api sederhana.
- Tumis bawang besar sehingga naik bau. Masukkan sosej, lobak manis dan asparagus. Kacau dan biar hingga masak.
- Masukkan bawang putih dan kacau lagi. Tutup api. Biarkan sejuk didalam lebih kurang lima minit.
- Masukkan bahan goreng ke dalam crust tadi. Ratakan dan taburkan cheddar cheese.
- Didalam bekas lain pukul telur dan susu hingga sebati. Perasakan dengan garam dan lada hitam.
- Berhati-hati tuangkan kedalam quiche tadi.
- Masukkan kembali kedalam oven dan bakar selama 30min atau sehingga masak. Pusingkan loyang pada separuh masa pembakaran.
- Keluarkan dari oven, sejukkan dan keluarkan dari loyang. Tabur daun kucai sebelum dihidangkan.

Enjoy, yo!

Tuesday, August 25, 2015

MEE GORENG SEMPOI

TETAMU datang mengejut atau sekadar untuk makan pagi/minum petang... atau bila-bila masa sahaja anda boleh buat resepi sempoi ini.

Ringkas tapi Insyallah, sedap.




MEE GORENG SEMPOI (BroZam)

Bhn2nya
1 bungkus mee kuning - cuci bersih dan toskan
1 keping dada ayam - dipotong kecil
5 biji cili kering - dibuang biji dan dikisar
2 bawang besar - dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
3 sb sos cili
5 sb kicap manis
Taugeh secukupnya (dalam 50sen) - dibuang akar dan cuci kemudian toskan
2 batang sawi - dipotong asingkan batang dan daun.
2 biji telur
hirisan tomato dan daun sup

Cara2nya:
- Panaskan minyak
- Tumis bahan2 kisar sampai naik bau.
- Masukkan ayam dan goreng sampai harum
- Tambah sos cili dan kicap manis
- Masukkan batang sayur sawi dahulu. Goreng.
- Masukkan mee dan goreng,
- Tambah sayur sawi dan taugeh.
- Pecahkan telur ke dalam kuali dan kacau sebati.
- Akhirnya masukkan hirisan tomato dan daun sup.

Hidangkan, yo!!

LAKSA UTARA

TERUS terang cakap, bila tiba pada sebarang masakan berbentuk "mee berkuah" termasuk laksa dan seangkatan dengannya saya akan jadi sedikit pelik (pada pandangan orang lain la). 

Mana tidaknya saya akan cuma hirup kuah serta makan sayur atau lauk tetapi mengetepikan mee, bihun atau laksa yang dihidangkan sekali. 

Contoh macam laksa utara yang isteri saya buat ni. Dia akan cuma hidangkan banyak sayur, lauk dan kuah sahaja untuk saya makan. Just like the way I like it...hehe

Pelik ke? Tak kot mungkin hanya ikut selera masing-masing lah kan.

Ok la suka hati nak makan macamana yang penting kita enjoy. Dan bagi yang hendak membuat laksa sendiri boleh tengok resepi isteri saya ini.




LAKSA UTARA (BroZam)

Bhn2nya:

1 bungkus laksa beras
15 ekor ikan sardin sederhana besar
1 kuntum bunga kantan - hiris nipis
1 ikat daun kesum
3-4 keping asam keping
garam secukup rasa

Bhn kisar:

8 tangkai cili kering, buang biji dan 
rendam didalam air 
4 biji bawang besar
1in belacan - dibakar

Bahan untuk hiasan:

5 biji telur, direbus
2 biji bawang besar, hiris nipis
1 batang timun, hiris nipis
Limau nipis, di potong
1 ikat daun salad
cili padi, hiris nipis

Cara2nya:

- Rendam laksa kering dan kemudian rebus sehingga lembut. Angkat dan toskan.
- Rebus ikan yang telah dibersihkan. Setelah masak, asingkan isi ikan dan air rebusan.
- Kisar ikan bersama tulang dengan sedikit air rebusan.
Masukkan kembali ikan kisar kedalam periuk bersama air rebusan tadi. Tambah bahan-bahan kisar, bunga kantan dan asam keping.
- Rebus selama lebih kurang 20 minit. 
- Perasakan dengan garam
- Kemudian masuk daun kesum. Rebus sebentar dan tutup api.
Hidangkan laksa bersama kuah dan bahan hiasan, yo!!

Sunday, August 23, 2015

AYAM KUNG PAO

CADANGAN asal ingat nak buat ayam goreng ala2 KFC untuk malam ni tetapi entah macamana bertukar jadi chinese stir-fry plak. 

Resepi ni namanya Ayam Kung Pao. 

Sedap weih (angkat bakul sendiri nmpk hehe). Siapa yang err, nak salin resepi tengok aje lah dibawah :p





AYAM KUNG PAO (BroZam)

Bhn2nya:

Bahan Perap: 

1/2 ekor ayam dipotong kecil
2 sb tepung jagung
1 biji telur ayam
1/2 sb black pepper
1/2 sb garam
1/2 sb gula
1/2 sb minyak bijan
1/2 kiub ayam
- Masukkan kesemua bahan2 dan perap seketika

Bahan Kuah:
5 tangkai cili kering (dipotong dua atau tiga dan direndam air panas)
1/2in halia dimayang nipis
1 biji bawang besar dihiris
1/2 cawan air
3 sb sos cili
3 sb sos tiram
1 sb cuka
2 sb kicap cair
lada sulah, gula dan perisa makanan secukupnya
sedikit daun bawang
sedikit gajus - goreng dahulu

Cara2nya:

- Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Masukkan kesemua ayam dan termasuk bahan-bahan perap kedalam kuali dan goreng sehingga masak. Ketepikan.
- Kuali tidak perlu dibasuh cuma tambah sedikit minyak untuk menumis bahan-bahan kuah pula.
- Masukkan bawang, halia dan cili kering. Tumis sehingga naik bau.
- Tambahkan sos, cuka, kicap. Gaul sebati dan biar seketika.
- Masukkan air dan masak sehingga medidih dan pekat.
- Sekarang boleh masukkan kembali ayam. Perisakan secukupnya.
- Masak seketika dengan api kuat. Sentiasa kacau supaya bahan-bahan tidak hangus.
- Sebelum tutup api, campurkan daun bawang dan gajus goreng.

Enjoy, yo!!



Friday, August 21, 2015

KEREPEK ARROWROOT "NGA KU"



SEMALAM di FB ada org komplen err... eh, tanya kenapa dah lama tidak up status resepi. Sakit ke? Sendiri tidak sakit tapi external hard disk yang sakit. 

Dah seminggu lebih sibuk repair hard disk tu yang tetiba tidak boleh nak access. Tu yang jadi teramat sibuk. Dalam tu ada 1TB movies, anime dan foto. Macam-macam cara, pelbagai applikasi data recovery sudah download tetapi proses nak dapat balik data tu masih perlahan.

Anyway, itu cerita lain lah. 

Untuk sahabat tu, pagi-pagi ni terus masuk dapur tengok apa yang boleh dibuat. Kebetulan semalam ada terbeli, hehe, terbeli lah sangat, arrowroot untuk dibuat kerepek. Mintak maaf, saya tidak tahu apa perkataan melayu untuk arrowroot ni - rasa/bau mcm sengkuang + rebung.

Pernah tengok tetapi tidak pernah makan. Dan ini lah kali pertama juga buat. Rasanya...memang best. Rugi kalau tidak cuba sendiri :)




KEREPEK ARROWROOT "NGA KU" (BroZam)

Bhn2nya:

750g arrowroot atau nga ku
1/2 sb garam dan air rendaman secukupnya
minyak masak secukupnya

Cara2nya:

- Bersihkan dan potong kulit arrowroot.
- Sediakan air garam didalam satu bekas atau besen.
- Gunakan pemarut yang sesuai untuk memotong nipis (saiz kerepek) arrowroot. Saya parut terus kedalam bekas air garam.
- Rendam selama sekurang-kurangnya setengah jam untuk membuang kanji dan menambah rasa kepada arrowroot tu.
- Angkat, basuh dengan air dan toskan sehingga kering sedikit. Hendak lebih kering boleh guna tuala kertas dan lap. (Kalau tidak basuh dengan air nanti kerepek jadi terlebih masin bila goreng).
- Panaskan minyak. Goreng sehingga keperangan.
- Angkat, sejukkan dan boleh dimakan segera atau disimpan didalam bekas kedap udara.

Enjoy, yo!

*Bagi yang tidak pernah tengok arrowroot. Ni gambarnya:







Friday, August 14, 2015

AYAM BLACKPEPPER

SALAM Jumaat, hari ini saya nak share satu lagi resepi berasaskan ayam yang menjadi kegemaran kami sekeluarga.

Ayam masak lada hitam atau ayam black pepper. Boleh juga guna daging jika sudah jemu dengan ayam. Tepuk perut tanya selera, ye :)




AYAM BLACKPEPPER (BroZam)

Bhn2nya:

5oog Ayam

1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih dicincang
1in halia - dimayang halus
1/2 cawan air

Bahan Perap:

5 sb kicap manis 
3 sb sos tiram
2 sb sos cili
1 st serbuk kunyit
1 st lada hitam 
garam secukupnya

Cara2nya:


- Perap ayam dengan kunyit, garam, kicap, sos tiram dan sos cili selama 30 minit.
- Tumis bawang besar, bawang putih dan halia
- Masukkan ayam dengan bahan perap.
- Untuk kuah, tambah air dan masak untuk beberapa minit lagi.
- Kalau nak lebih rasa black pepper bolehlah tabur serbuk black pepper diatas hidangan. 

Enjoy, yo!!





Wednesday, August 12, 2015

KEY LIME PIE

INI salah satu resepi yang sudah lama saya ingin cuba. Alhamdullilah percubaan pertama terus membuahkan hasil.

Key lime Pie atau dalam bahasa melayunya Pai Limau Nipis. Bahan-bahannya sangat sedikit dan buatnya senang tetapi ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan.

Contohnya, pada percubaan kali kedua terus failed dengan teruknya kerana mungkin terlebih pukul bahan-bahan dan juga kerana menggunakan kipas oven semasa membakar.


Kali ketiga saya buat lagi, kali ini kembali ke cara-cara pertama yang saya telah cuba dan Alhamdullilah menjadi. Kesimpulannya guna cara-caranya yang telah saya sertakan diresepi.



KEY LIME PIE (BroZam)

Bhn2nya:

5 kuning telur
1 tin susu pekat manis
1/2 cawan jus limau nipis

Untuk pie crust (non-baked):

1 1/2 biskut Digestive McVitie's
6 sb mentega tanpa garam
1 9in loyang pai

Cara2nya:

- Mula-mula buat pie crust dulu. Biskut di blend halus untuk dapat crumb atau serbuk biskut.
- Cairkan mentega dan campur kedalam serbuk biskut tadi. Gaul sebati dan masukkan ke loyang pai yang telah dioles dengan sedikit mentega.
- Tekan rata sampai ke sisi loyang. Boleh guna belakang sudu atau dialas plastik dan tekan dengan jari.
- Balut dengan plastik wrap dan simpan dalam peti ais untuk biar crust tu set, sekurang-kurangnya sejam.
- Seterusnya untuk isi pai. Guna mixer untuk gaul sebati ketiga-tiga bahan.
- Panaskan oven 180C (tanpa kipas).
- Tapis dan tuang bancuhan kedalam crust pie yang telah dikeluarkan dari peti ais.
- Ratakan dan terus masuk kedalam oven.
- Bakar 15minit. Lepas tu tutup oven dan biarkan selama 10minit lagi.
- Keluarkan dan biar sejuk sebelum dimasuk kedalam peti.
* Masa mula-mula keluar oven, bancuhan nampak belum keras. Jangan bimbang bila sejuk baru isi set.

Enjoy, yo!!

Monday, August 10, 2015

CHAI TOW KWAY


SEMALAM saya sudah kongsi cara-cara buat kueh lobak. Selain dari makan terus, kueh lobak juga boleh digunakan untuk membuat Chai Tow Kway atau fried radish cake. Untuk pengetahuan anda, ini lebih kurang buat kuey tiaw goreng tapi guna kueh lobak. 

Untuk resepi kali ini saya guna shortcut. Maaf, tidak sempat nak buat pes kuey tiaw sendiri (Insyallah, yg ini sy share lain kali) jadi saya cuma guna yg ready-made je.

Tiada brand sebababeli di pasar dalam plastik yang cuma tertulis instruction cara-cara guna. Anda boleh guna apa-apa pes kuey tiaw yang ada.







CHAI TOW KWAY (BroZam)

Bhn2nya:


2 mangkuk kueh lobak yang telah dipotong empat segi
5 - 6 sb pes segera kuey tiaw
2 biji telur
Sedikit ayam/udang/sotong/kerang
1/2 mangkuk kucai/daun bawang
1 mangkuk taugeh
lada hitam, gula dan garam secukupnya

Cara2nya:


* Jika guna ayam, goreng dahulu hingga putih. Angkat, tos dan ketepikan. Untuk udang atau sotong boleh tambah kedalam pes kemudian. Untuk kerang seelok-eloknya direbus dahulu.

- Panaskan lebih kurang 2 sb minyak dan tumis pes kuey tiaw sekejap.
- Pecahkan telur dan goreng seketika.
- Tambah air jika ingin berkuah.
- Masukkan ayam/udang/sotong/kerang dan kacau lagi.
- Sekarang boleh masukkan kueh lobak dan goreng berhati-hati supaya kueh tidak hancur.
- Sebelum tutup api tambah daun kucai/bawang dan taugeh.

Angkat dan hidangkan didalam pinggan, yo!!



Sunday, August 9, 2015

KUEH LOBAK

KALAU pernah berkunjung ke pasar-pasar yang banyak penjual Cina, mesti ada ternampak kuih ni. 

Lebih kurang mcm talam berlauk tetapi rasanya lebih kepada bubur lambuk (at least, tu yang saya rasa :)

Buat senang dan rasanya pun sedap. Pastu boleh juga digoreng mcm buat kuey tiaw.




KUEH LOBAK (BroZam)

Bhn2nya:
350g lobak putih - diparut.
250g tepung beras
20g tepung ubi
2 - 2 1/2 cawan air
25g udang kering - direndam kemudian ditumbuk
garam secukup rasa
1 1/2 st kiub perasa ayam
1/2 st serbuk lada
1 biji bawang besar - dicincang
3 ulas bawang putih - dicincang
sedikit minyak

Hiasan:
daun bawang/kuchai
bawang goreng
minyak bijan
cili sos Thai

Cara2nya:
- Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang dan kemudian masukkan udang kering. Seelok-eloknya guna periuk bukan kuali.
- Tambah udang kering dan goreng seketika
- Masukkan lobak parut dan goreng sekejap. Tutup api dan ketepikan.
- Masukkan kiub ayam didalam air dan gaul sebati.
- Dalam satu bekas lain, campurkan kesemua tepung dan serbuk lada, dan
diadun dengan air.
- Sekarang campurkan kedalam kuali tumisan tadi. Pasang semula api, kacau dan biarkan bancuhan memekat sedikit.
- Sediakan periuk kukusan. Loyang boleh dilenser minyak atau dialas dengan plastik untuk memudahkan mengeluar kuih yang telah masak.
- Kukus selama 45 minit. Biar sejuk sebelum disimpan didalam peti sejuk.
- Bila hendak makan potong berbentuk segi empat. Panaskan kuali non-stick dengan sedikit minyak dan goreng bahagian atas dan bawah kuih sebelum dihidangkan.
- Boleh dimakan bersama minyak bijan, bawang goreng dan sos cili Thai.

Enjoy, yo!!

Friday, August 7, 2015

TEMPOYAM PETAI

INI mungkin resepi masakan berasaskan tempoyak (at least yang saya buat sendiri) terakhir untuk kali ini kerana sudah habis guna stok yang ada.

Nama di resepi bukan typo ya... kerana ini resepi yang saya cipta sendiri jadi boleh letak nama yang saya suka lar :)

Gabungan tempoyak dan ayam bersama petai (juga ikan bilis), jadi untuk memendekkan namanya saya sambungkan tempoyak dan ayam jadi "tempoyam".

Resepi ini adalah untuk dua atau tiga orang makan. 





TEMPOYAM PETAI (BroZam)

Bhn2nya:


Segenggam petai yang sudah dikopek - dipotong dua
Segenggam ikan bilis
250g ayam - dipotong kecil
2 1/2 sb tempoyak
1/2 biji bawang besar - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
2 biji cili hijau - ditumbuk
3 biji cili padi - ditumbuk
1in kunyit hidup - ditumbuk1/2 sb gula
garam secukupnya

Cara2nya:


- Tumbuk kasar bawang-bawang, cili-cili dan kunyit hidup.
- Goreng ikan bilis hingga garing, ketepikan
- Guna minyak yang sama tetapi dikurangkan separuh, masuk bahan kisar dan tumis hingga naik bau.
- Masukkan tempoyak, kacau seketika dan masukkan ayam.
- Goreng ayam sampai bertukar putih dan masukkan petai.
- Tambah gula dan kacau seketika.
- Masukkan ikan bilis goreng tadi. Kecilkan api dan biar sekejap.
- Rasa dan jika perlu tambah garam.

Angkat dan hidangkan, yo!!




Wednesday, August 5, 2015

PATIN GULAI TEMPOYAK

INI antara masakan yang saya sangat suka. Sebab utama tentulah kerana tempoyak - almaklumlah orang Perak jadi apa-apa masakan berasaskan tempoyak memang suka benar huhu.

Kerana ini adalah salah satu resepi popular maka pelbagai cara atau versi ada diluar sana. Dan ini adalah salah satu caranya (cara saya:)

Buatnya pun tidak sesusah mana tetapi sesetengah orang tidak suka bau ikan yang agak kuat. Salah satu petua, setelah dipotong boleh dilumurkan ikan patin dengan tepung gandum dahulu kemudian teruskan proses seperti biasa.


Ikan patin juga ditukar dengan yang lain seperti kembung atau keli jika suka.




PATIN MASAK TEMPOYAK (BroZam)

Bhn2nya:


1 ekor ikan patin sederhana besar - saya buang kepala 

3 sb tempoyak
1 liter air
1 biji cili besar
3-4 biji cili padi
1/2 st serbuk kunyit atau 1in kunyit hidup
1in halia
secekak daun kesum 
daun kunyit (optional) - diramas dan dililit
bunga kantan atau asam keping (optional)
garam secukupnya

Cara2nya:


- Tumbuk cili, kunyit hidup dan halia tetapi jangan sampai hancur sangat. 

(Jika menggunakan serbuk kunyit masukkan terus didalam air masakan.)
- Panaskan air dan masukkan semua bahan yang telah ditumbuk serta tempoyak. Kacau seketika.
- Biarkan menggelegak dan kuah bertukar sedikit pekat. Api sederhana.
- Masukkan ikan patin.
- Biar 2-3 minit dan bolehlah masukkan daun kesum. Jika hendak lebih masam dan harum boleh juga tambah bunga kantan atau asam keping.
- Cuba rasa dan tambah garam ikut selera.
- Perlahankan api dan tutup periuk. Masak lebih kurang 5 minit lagi dan boleh tutup api.

Sedia untuk dihidangkan, yo!!













Tuesday, August 4, 2015

NASI GORENG MUSTARD TEMPOYAK

HAHA, sempena bulan tempoyak kita pun reka satu nasi goreng yang spesel punya. Bukan setakat ada tempoyak tapi juga ditambah satu lagi bahan favourite... yellow mustard.

Sedap ke tidak terpulang pada selera masing-masing. Bagi saya gabungan kedua-dua bahan sangat menarik dan memang best.

Tak percaya? Resepi dah disediakan dibawah jadi boleh cubaTry sendiri kalau berminat.




NASI GORENG TEMPOYAK MUSTARD (BroZam)

Bhn2nya:

1 cawan nasi putih sejuk
1 biji bawang besar - dipotong kiub
3 ulas bawang putih - dicincang
1 biji telur
2 sb tempoyak
2 sb mustard
3 sb kicap cair
1/2 cawan sayur campur frozen 
sedikit ikan bilis dan udang besar - dibasuh/dibersihkan
sedikit tempe (optional) - kebetulan ada dalam peti ais
Garam, gula dan minyak masak secukupnya

Cara2nya:

- Campurkan mustard dan tempoyak didalam satu bekas dan gaul sebati
- Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang besar sampai naik bau. Guna api sederhana.
- Masukkan ikan bilis dan udang. Goreng sampai separuh masak.
- Sekarang boleh tambah telur. Agak-agak masak sedikit bolehlah dimasukkan campuran tempoyak dan mustard tadi.
- Kacau, tunggu seketika. 
- Sekarang masukkan pula nasi ke dalam kuali. Gaul sampai sebati.
- Tambah kicap cair. Gaul dan cuba rasa. Kalau rasa kurang masin boleh tambah garam dan kalau hendak pedas boleh letak lada hitam atau cili padi.
- Bila dah dekat-dekat nak masak masukkan sayur campur.

Dah siap pun, yo!




Monday, August 3, 2015

PAIS TEMPOYAK DAGING KAMBING

SIBUK sungguh dua tiga hari so arini baru berkesempatan nak berTempoyak hehe. 

Satu resepi ringkas...pais tempoyak.

Tetapi selalunya orang guna untuk ikan tetapi kebetulan masih ada dua keping daging kambing frozen didalam peti ais jadi untuk kali ini kita bertukar selera sikit.

Dan satu lagi, kebanyakkan akan menggunakan oven untuk memasak pais tetapi saya cuma guna pemanggang ajaib sahaja. Bezanya, lebih cepat dan mudah.




PAIS TEMPOYAK DAGING KAMBING (BroZam)

Bhn2nya:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2in kunyit hidup
5 biji cili padi
2 helai daun kunyit - satu diricik dan satu lagi dijadikan pembalut semasa memasak
2in halia
2 sb tempoyak
garam dan gula secukupnya
aluminium foil

Cara2nya:
- Defrost, bersihkan dan tos kepingan daging kambing
- Potong aluminium foil secukup untuk membalut daging kambing. Letakkan terus diatas pemanggang ajaib dan sehelai daun kunyit dilapik didalam
- Blend bawang, kunyit, cili padi, daun kunyit dan halia.
- Kemudian gaulkan tempoyak atau boleh juga di blend sekali
- Perasakan dengan garam dan gula ikut citarasa
- Letakkan pais diatas aluminium dan ratakan
- Letakkan daging diatasnya
- Kemudian pais yang selebihnya diratakan diatas daging
- kemudian tutup aluminium foil/ boleh juga dibiarkan terbuka untuk memudahkan melihat samada daging dan masak atau belum
- Panggang diatas api kecil selama sekurang-kurangnya 25minit atau sehingga masak.
- Boleh dimakan bersama cili potong atau kicap manis jika suka.

Sedia dihidangkan, yo!!



Saturday, August 1, 2015

CERITA TEMPOYAK

SEKARANG musim durian. Selain dari dimakan begitu atau dibuat kek, crepe dan juga aiskrim ada satu lagi masakan tradisi yang amat terkenal iatu tempoyak.

Amat terkenal di negeri Perak dan Pahang, macam mana budu famous  di Kelantan atau cencalok di Melaka.

Mengikut catatan sejarah, tempoyak tertulis didalam Hikayat Abdullah bin Abdulkadir Munsyi sejak tahun 1836 sebagai salah satu makanan kegemaran masyarakat Terengganu (sumber: Wikipedia). 

Samada benar atau tidak itu mungkin dulu, sekarang tempoyak tidak sinonim dengan masakan rakyat Terengganu. Kalau salah betulkan saya ya :)

Selain dari semenanjung Malaysia, tempoyak juga popular di tanah Kalimantan dan juga Sumatera terutama di Jambi, Palembang dan Lampung.

Tempoyak diperbuat dari durian yang telah diasing bijinya dan diperam sekurang-kurangnya tiga hari. 



Fresh dari dusun. Kejap lagi kopek dan makan isinya. Yum! Yum

Selain dari diperam begitu sahaja, ada juga yang menambah secubit garam, gula dan cilipadi. Semuanya terpulanglah pada selera masing-masing.  






Ni cara saya:
- Didalam bekas kedap udara buangkan biji durian.
- Letak secubit garam (untuk bagi rasa masam-masam lemak)
- Tutup bekas dan letak sahaja diluar peti ais. Insyallah dalam tiga hari bertukar jadi tempoyak.

Bila sudah jadi tempoyak bolehlah disimpan didalam peti ais supaya lebih lama dapat digunakan. Saya juga membaca ada orang yang menyimpan didalam freezer untuk memanjangkan jangkahayat tempoyak sampai ke dua tahun. Maaf saya tidak pernah pula mencuba. 

Boleh dimakan bersama ulam-ulaman sebagai sambal. Kebanyakkan juga dicampur dengan sambal belacan atau juga ikan bilis (juga dikenali sebagai sambal goreng tempoyak).




Jemput la ber-cicah, ye :)

Antara masakan popular yang mengunakan tempoyak adalah gulai tempoyak. Biasa dimasak bersama ikan sungai terutamanya baung, jelawat dan patin. Kalau tidak suka ikan sungai, boleh juga guna ikan laut macam kembung.

Atau boleh sahaja dijadikan pais tempoyak (ikan bakar) dan nasi goreng.

Actually, sky's the limit. Mana tahu mungkin suatu hari ada pula kek moist tempoyak...hehe.