Friday, September 25, 2015

APAM BERAS

ORANG rumah dah lama minta tolong buatkan tapi saya punya la malas so akhir dia buat sendiri haha.

Buatnya memang tidak susah. Bak kata Sheila Rusly semudah ABC.

So, dah tau la resepi tu datang dari mana. Cumanya orang rumah menggunakan cawan kukus comel selalu guna untuk buat apam polkadot. Jadi, versi ini lebih kecil dari yang selalu orang jual.




APAM BERAS (BroZam)
Resepi asal: Sheila Rusly

Bhn2nya:
1 cawan Nasi
1 cawan Tepung Gandum
1 Cawan Tepung Beras
¾ Cawan Gula Pasir
1¼ Cawan Air
½ Sudu Besar Yis
½ Sudu Kecil Sodium bikarbonat (Baking Soda)
½ Sudu Kecil Perisa Ros
Pewarna Pilihan

Cara2nya:
- Kisar nasi dan air sehingga hancur. Setelah hancur, campur gula ke dalamnya dan kisar sehingga sebati.
- Dalam bekas lain, satukan tepung gandum, tepung beras dan yis. Kacau rata.
- Masukkan bahan cecair tadi ke dalam bekas tepung. Kacau sehingga sebati. Perap selama 3 jam.
- Asing kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut kesukaan.
- Panaskan pengukus dan balut penutupnya dengan kain.
- Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.
- Masukkan kedalam acuan dan kukus selama 15 minit.
- Kelapa parut dicampurkan garam ditabur diatas apam sebelum dimakan.

Wednesday, September 23, 2015

BISKUT CORNFLAKES MADU CHOCOLATE CHIP

TETIBA pula ada resepi biskut raya kan. Hehe, bukan apa maklum lah raya haji kan esok. 

Memang lah orang jarang pentingkan biskut raya untuk raya haji tetapi kalau terlebih rajin apa salahnya kan :)

Sesambil buat ketupat dan rendang marilah selit-selitkan biskut yang mudah disediakan tetapi sangat sedap dimakan dan menjadi pilihan terutamanya kanak-kanak.




BISKUT CORNFLAKES MADU CHOCOLATE CHIP (BroZam)
resepi asal: Chef Hanieliza

Bhn2nya:

100g mentega
50g gula kastor
8 sb madu
200g cornflakes (dikisar)
100g chocolate chip
100g almond flake (dipanggang dalam oven selama 10min)

Bhn hiasan:
100 - 150 keping acuan kertas kecil
100g chocolate rice

Cara2nya:
- Panaskan oven 170C.
- Masukkan gula, madu dan mentega kedalam periuk kecil. Panaskan sehingga mentega cair. Tutup api.
- Campurkan cornflakes, chocolate chip dan almond flakes ke dalam bahan mentega.
- Sudukan kedalam acuan kertas.
- Hiaskan dengan chocolate rice
- Susun atas loyang pembakar. Masukkan kedalam oven dan bakar selama 8-10 minit.
- Sejukkan dan simpan didalam bekas kedap udara.

Selamat hari raya, yo!!


Tuesday, September 22, 2015

TELUR BISTIK

MAKANAN ini ada favourite saya. Yang menjadi aras tanda kesedapan sesuatu kedai tomyam yang saya kunjungi. Maksudnya, kalau sedap telur bistik dikedai tu sedap lah masakan-masakan lainnya. 

Ini hanya selera peribadi, realitinya sesebuah kedai tidak mungkin boleh menyediakan semua masakan sedap-sedap kerana selera pelanggan lain-lain. Mungkin telur bistik ini sedap ditekak saya tetapi pada orang lain biasa-biasa sahaja.

Kerana telur bistik adalah makanan kegemaran jadi saya telah banyak kali mencuba membuatnya sendiri. Dan Alhamdullilah, kali ini rasanya sudah hampir dengan rasa masakan yang saya pernah cuba disebuah restoren di Rawang lama dahulu. (Restoren tu dah lama tutup).

Masih boleh ditambahbaik tetapi itu mungkin untuk versi 2.0 atau keatas. Untuk kali ini saya kongsikan versi 1.0 hehe





TELUR BISTIK (BroZam)

Bhn2nya

2 biji telur
1 sb sos ikan
1/2 sb tepung jagung
1 genggam isi ayam - dicincang/dipotong kiub

Untuk kuah:
1/2 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1 - 2 sb nenas - dicincang/potong kiub
1 sb lobak merah - dicincang*
1 sb jagung manis frozen/corn kernel*
3 sb sos cili
2 sb sos tomato
1 sb sos ikan
1 sb sos tiram
1 batang daun ketumbar - dipotong kecil
1/2 sb gula
1/2 st ajinamoto
1/2 cawan air
garam secukupnya
* yang bertanda boleh digantikan dengan 2 sb sayur campur frozen

Cara2nya
- Dalam sebuah bekas masukkan telur, sos ikan, tepung jagung dan kacau sebati. Selepas itu gaulkan ayam.
- Panaskan minyak, guna api sederhana dan goreng telur sampai keperangan disebelah bawah. Kemudian terbalikan dan biarkan perang sebelum diangkat dan diketepikan.
- Lebih minyak dari mengoreng telur boleh digunakan semula untuk membuat kuah masam-manis telur bistik. Jika minyak terasa banyak boleh dikurangkan sehingga tinggal dua atau tiga sudu besar.
- Tumis bawang besar dan lobak merah sampai bawang sedikit keperangan dan naik bau. Masukkan bawang putih dan goreng seketika.
- Masukkan sos cili, tomato, ikan dan tiram. Gaul sebati.
- Dalam dua minit tambah gula dan gaul sebati.
- Tambah air dah biarkan mereneh sekejap.
- Masukkan ajinomoto dan daun ketumbar.
- Rasa dan jika perlu tambah sedikit garam. Angkat dan boleh siramkan diatas telur goreng tadi.

Enjoy, yo!!

* Kalau di restoren tomyam, tukang masak dia selalu guna air rebusan tulang ayam/daging untuk lebih rasa.
** Juga bagi yang hendak betul-betul rasa sebijik macam di restoren tomyam, ajinomoto adalah wajib. Memang dirumah kita tidak mahu guna tapi kalau suka makanan diluar tu, inilah antara bahan utama

Saturday, September 19, 2015

JEM OREN (MARMALADE)

TENGOK di breadmaker nampak pelbagai mode atau jenis masakan yang mesin ni boleh buat.

Selalu cuma guna fungsi roti bengali dan doh sahaja. Jadi rasa rugi kalau tidak guna fungsi-fungsi yang lain. 

Tu yang minta tolong dari En.Google untuk resepi jem. Dengan sedikit adjustment untuk memenuhi citarasa sendiri dan juga sebab budget ciput saya perturunkan lah resepi Jem Oren (Marmalade) disini.




JEM OREN (MARMALADE) - BroZam

Bhn2nya:

3 biji oren (saiz besar)
1/2 biji lemon
2/3 cawan gula pasir
50g madu

Cara2nya:
- untuk buah oren saya guna Navel Valencia sebab buahnya besar, manis dan tiada biji.
- buang kulit limau dan lemon dengan pisau pemotong kulit (boleh tinggalkan bahagian putih kalau hendak tetapi akan ada rasa sedikit aftertaste pahit)
- Kemudian gunakan slicer untuk memotong buah kepada hirisan lebih halus.
- Masukkan kesemua bahan kedalam bekas BM. Pilih mode 9 (Jam) dan tekan butang on.
- Setelah masak kali pertama (dalam 1 jam 20 minit), jem masih lagi berair dan berketul-ketul. Keluarkan dan masuk ke dalam blender. Kisar jem sehingga sedikit halus.
- Masukkan kembali jem kedalam bekas BM. Pilih mode 9 dan masak jem sekali lagi.
- Siap, keluarkan, sejukkan dan simpan didalam bekas yang sesuai.

Enjoy, yo!!

Tuesday, September 15, 2015

TACO MAC & SAUSAGE

JEREBU oh, jerebu. Tiap-tiap tahun, pada waktu yang lebih kurang sama... jerebu datang melanda. Dah beberapa tahun, entah bila lah nak selesai. 

Walau cuaca nampaknya lebih baik dari semalam, saya tiada mood nak keluar. Lebih-lebih lagi hari sekolah diisytiharkan cuti kerana bacaan IPU jerebu melebih tahap bahaya. Jadi tidak perlu keluar untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Tapi masalahnya, nak masak untuk makan tengahari tiada ikan atau ayam untuk dijadikan lauk pula. Tengok-tengok di pantry dan dalam peti ais untuk mencari alternatif lain.

Pastu dua tiga hari nampak kawan-kawan FB asyik tayang menu berasas tortilla dan kebetulan memang ada stok tortilla dirumah. 

So, anak-anak hari ini nampaknya kita akan makan ala2 kebaratan untuk makan tengahari :P .




TACO MAC & SAUSAGE (BroZam)

Bhn2nya:
3 instant tortilla wraps - jenama Aeon Big
1 1/2 cawan macaroni rebus - ini lebih dari buat Mac&Cheese semalam
2 biji telur - saya cuma guna putih telur yang lebih dari buat pavlova
3 batang sosej
1 biji bawang merah - dipotong
1/2 cawan cendawan butang/shitake
1/2 cawan sayur campur
timun, tomato dan sedikit daun bayam
bbq seasoning dan 
garam secukupnya
Sos cili, sos blackpepper dan mayonise 


Cara2nya:
- Kulit tortilla ini lembut, jadi jika hendak ia rangup dan boleh "berdiri" diatas pinggan kena di "stim" didalam microwave dan kemudian "dipanggang" didalam oven dahulu.
- Ambil sebuah pinggan tahan microwave, sembur depan belakang sekeping kulit tortilla dengan air biasa dan letak diatas pinggan. Alas dengan tuala lembab/atau paper towel. Seterusnya spray lagi sekeping kulit tortilla dengan air dan buat seperti tadi. Buat yang sama untuk kepingan ketiga. Dan tutup dengan tuala lembab/paper towel. 
- Microwave kan selama 30 saat suhu medium. Tujuan untuk menghasilkan wap stim pada tortilla tadi sebelum dimasukkan kedalam oven.
- Keluarkan dan "sidai" (guna dua jejari besi untuk setiap tortilla wrap) diatas rak besi oven. Set suhu 150C dan "panggang" selama 7-8minit, atau sehingga keras/rangup bila dipegang. Keluarkan dan jika betul2 ok tortilla wrap tadi bole "berdiri" dan tidak jatuh layu ke tepi.
Untuk filing/inti pula begini:
- Rebus macaroni seperti yang tertulis di peknya.
- Goreng/rebus sosej ikut cara anda. Saya cuma letak sedikit marjerin dan masak diatas non-stick pan. Ketepikan bila sudah masak.
- Didalam non-stick kuali yang sama letak sedikit minyak atau marjerin. Tumis bawang sehingga keperangan.
- Masukkan cendawan, sayur campur dan goreng seketika. Tambah telur dan bila dah sedikit masak boleh perasakan dengan garam dan bbq seasoning.
- Gaul seketika dan masukkan macaroni tadi. Gaul sebati dan biar seketika sebelum tutup api.
Untuk menyatukan bahan-bahan:
- Hiris timun dan tomato.
- Letakkan kulit tortilla diatas pinggan. 
- Masukkan macaroni dan letakkan sebatang sosej diatanya. Letakkan hirisan timun dan tomato.
- Tuang sos cili, lada hitam dan mayonis secukupnya.

Sedia dihidangkan, yo!!













Monday, September 14, 2015

2 1/2-MIN PUDING ROTI

SELAMAT petang dan teramat maaf jika ada yang terliur bila tengok gambar masakan ni. Dah namanya blog masakan so mesti lah upload gambar masakan.

Begitu juga dengan FB saya. Apa yang saya upload di personal wall adalah apa yang saya minat. Jika ada yang tidak suka boleh lah unfriend. Lagi pun sekarang saya dah tidak invite orang, jadi sesiapa yang add saya tu mesti paham dan tahu apa yang akan diorang lihat di status saya. 

Ini semua disebabkan baru-baru satu FB status yang menjadi viral mengatakan "kepada umat Islam jangan hantar gambar makanan kalau nak menunjuk-nunjuk dan kalau tak nak bagi makanan tersebut. Kalau ada yang mengandung kempunan berdosa orang yang menghantar."

Masalahnya, si tukang upload tu upload statement ini di page masakan, dimana rata-rata members berkongsi gambar makanan dan resepi. Memang silap besarlah jadi usah terkejut bila dikutuk kaw-kaw oleh sebilangan besar members. Jadi viral terus.

Bagi saya senang aje, kalau kita tidak suka... tu hah! butang unfriend. Just unfriend aje lah. Sikit pun mana-mana pihak tidak rugi.

Tapi kalau di wall saya, rasanya takde masalah kerana selalunya saya sertakan resepinya sekala jadi bolehlah kalau nak buat sendiri. Cuma samada anda tu rajin atau tidak aje :p


Ok lah, terpanjang pulak celoteh untuk kali ini. Meneruskan lagi sesi masakan segera dan sedap, ini dia resepi 2 1/2-minit Puding Roti yang saya baru buat hari ini.



2 1/2-MINIT PUDING ROTI (BroZam)

Bhn2nya:

1 1/2 keping roti sandwich
1/4 cawan susu
1 1/2 sb gula castor (boleh kurangkan atau lebih ikut citarasa)
1/4 st esen vanila
1 sb marjerin
secubit garam
sedikit kismis dan chocolate chips
mangkuk plastik tahan microwave IKEA

Cara2nya:
- Roti dicarik-carikkan atau potong kiub. Bahagian yang tebal/perang boleh dibuang jika tidak suka guna.
- Didalam mangkuk plastik Ikea tuang susu dan gula. Guna garfu untuk sebatikan bahan.
- Campurkan marjerin. Tidak perlu dicairkan dan bila dikacau memang akan berketul-ketul.
- tambah esen vanila dan garam
- Masukkan roti dan gaul sebati tapi jangan sampai roti hancur.
- Akhir sekali letak kismis dan chocolate chips diatas.
- Bakar didalam microwave suhu tinggi dalam 2 1/2 minit. Semasa dibakar roti akan naik tinggi dan bila sejuk akan mengecil dari mangkuk.
- Keluarkan dan boleh ditambah sirap coklat dan aiskrim vanilla.

Hidangkan, yo!!

* Btw, untuk gambar tu saya dah transferred puding yang masak kedalam ramekin untuk nampak lebih menarik :)

Saturday, September 12, 2015

NESCAFE MOCHA

BARU ni saya ada tengok rancangan New Zealand's Hottest Homebaker final. Apa yang mengangumkan untuk final, dua peserta yang berentap kejuaraan diberi masa 6 jam untuk buat 1 kek dan 7 jenis pastries (bahagian ini cuma diberitahu satu setiap 30minit).

Best nya kalau dapat buat macam tu. Memang terer diorang dapat menyiapkan semua dalam tempoh yang ditetapkan walaupun amatur. Tu yang buat terfikir, kalau diorang boleh mungkin saya pon, err, kot lar. 

So hari ini ingat nak cubaTry kalau mampu. Plan nak tambah beberapa menu baru untuk niaga esok. 

Update: D'oh! Kalau masuk perrtandingan tu sure kalah dah. 6 jam berlalu hanya dapat siapkan separuh sahaja dari apa yang telah dirancang. Masalah utama bahan ada saja yang tidak cukup jadi terpaksa lari ke kedai... dah dua tiga kali huhu.

Penat dah ni. Nampaknya dua tiga benda lagi kena buat esok pagi la. Sementara menunggu menu yang terakhir (untuk malam ini) masak, ni saya nak kongsikan resepi air Nescafe Mocha. Resepi ni apat daripada awek promoter yang buat promosi Nescafe drinks di Aeon Big yang saya pergi pagi tadi.




NESCAFE MOCHA (BroZam)

Bhn2nya:
2 1/2 st nescafe classic
3 st gula
4 st coffeemate
1 sb milo
air panas secukup
* 1 cawan plastik/kertas tahan panas 10oz

Cara2nya:
- Masukkan semua bahan2 kering kedalam cawan plastik
- Tuang air panas sehingga 2/3 paras cawan.
- Kacau sebati

Hirup panas-panas, yo!!

Friday, September 11, 2015

8-MINS SPINACH QUICHE

SALAM Jumaat, meneruskan revolusi ke evolusi masak pantas tapi sedap...cuma menggunakan microwave untuk bakar hari ini kita buat 8-minit Spinach Quiche (quiche bayam) pulak.

3minit pertama untuk bakar crust dia sahaja dan seterusnya lima minit lagi untuk bakar dengan inti.
 
Saiznya adalah sebesar pinggan plastik budak IKEA. Ya,kalau semalam kita guna mangkuk plastik budak Ikea untuk resepi 3-Mins Chocolate Cake kali ini kita guna pinggannya pulak :)





8-MINS SPINACH QUICHE (BroZam)

Bhn2nya: Untuk crust

1 cawan tepung gandum
1/4 st garam
5 sb mentega tanpa garam
3 sb air

Untuk Inti:
1 telur A
1 1/2 sb fresh milk
1 sb mentega tanpa garam - dicairkan
5 helai daun bayam - tidak perlu dipotong
1/2 biji tomato saiz sedang - dipotong kecil melintang
1 keping cheesedale/1 sb cheddar
1/2 st mixed herbs
secubit garam dan lada hitam
mozarella boleh juga diparut diatas sebelum dibakar

Cara2nya:
- Masukkan semua bahan didalam sebiji mangkuk dan gaul sebati. Uli sampai boleh membentuk bola doh.
-Keluarkan dan letak diatas meja berlapik (saya guna pelapik silikon). Dengan rolling pin, leperkan membulat sebesar pinggan Ikea tu.
- Angkat dan letakkan doh yang telah dileperkan didalam pinggan. Tekan bahagian tengah sampai ke sekeliling pinggan sehingga ke bahagian tepi atas. Cucuk2 bahagian dalam dengan garfu untuk mengelakkan doh mengelembung apabila dibakar nanti.
- Doh ini cuma dibakar separuh masak. Microwave kan dalam 2-3 minit pada suhu Medium. Keluar dan sejukkan.
- Sementara menunggu doh dibakar kita boleh terus buat intinya.
- Dalam sebuah bekas kacau telur dengan garfu. Tambah susu, mentega cair, garam dan lada hitam. Kacau sebati.
- Masukkan pula tomato dan bayam.
- Masukkan juga Cheesdale yang telah dicarik2 atau dipotong kecil. Kacau lagi sampai sebati.
- Tuangkan kedalam crust yang kita buat tadi dan pastikan bahan-bahan terutama bayam dan tomato diletak sama rata.
- Parutkan mozarella cheese diatas jika mahu.
- Bakar balik didalam microwave. Suhu paling tinggi dalam 5 minit.
* Kalau nak umphhh lagi...inti boleh di double kan supaya quiche nampak lebih byk isi. Dan juga boleh ditambah sosej yang dipotong dan cendawan butang

Siap yo!!


Wednesday, September 9, 2015

3-MINS CHOCOLATE CAKE


KEK coklat siap bakar dalam 3 minit sahaja? Tak percaya! Kalau gitu mari lah cuba resepi ini. Rahsianya senang sahaja, guna microwave untuk membakar.


Bukan itu sahaja, membancuh resepi pun sungguh mudah dan cepat. Insyallah, anda cuma perlu 5 minit sahaja tetapi dengan syarat semua bahan-bahan sudah tersedia depan mata :) 

Idea ni tercetus setelah melihat resepi ini trending semalam di FB. Tetapi seperti biasa saya telah adjust resepi supaya mengikut selera dan juga apa sahaja bahan yang sudah tersedia dirumah.

Sedap ke? Bagi yang bertanya, ni jawapannya. Yang buat ni sekejap sahaja anak-anak bagi habis. Yang sedih tu tak tinggal sedikit pun kat orang yang buat... huhu.

Nampaknya esok kena buat lagi sekali le hehe





3-MINS CHOCOLATE CAKE (BroZam)
Resepi asal: Asmaliza Fifie Ahshari


Bhn2nya:

4 sb serbuk minuman koko (atau milo)
4 sb gula kastor
4 sb tepung gandum
4 sb whipping cream (atau susu cair/fresh milk)
4 sb minyak zaitun (atau apa minyak sayuran)
1 biji telur A
1/4 st baking powder
2 sb chocolate chips
1 mangkuk/mug tahan microwave - saya guna yang saiz 4in mangkuk plastik IKEA (ala mangkuk budak yang warna-warni tu)

Cara2nya:

- Masukkan kesemua bahan didalam mangkuk plastik dan gaul sebati mengunakan garfu.
- Masukkan didalam microwave dan guna setting maximum. Set timer 3 minit.
- Keluarkan dan biar sejuk diatas redai.
- Keluarkan dari mangkuk dan saya hiaskan dengan gula ising dan almond flakes.

Esok kena buat lagi, yo!! Huh

Tuesday, September 8, 2015

KEREPEK PISANG PEDAS MANIS


KATANYA lemak, katanyak manis....cheh! Kerepek pisang lemak manis yang beli kat Banting tempohari sudah lah sedikit lemau pastu pahit pulak tu. 

Hmm...takpe, takpe, jangan terus buang dalam tong sampah. Kita boleh adjust bagi sedap dan ranggup balik dengan sedikit usaha.




KEREPEK PISANG PEDAS MANIS (BroZam)

Bhn2nya

500g Kerepek pisang (siap beli)

Bahan sira (sambal)

1 biji bawang merah (dikisar kasar)
3 ulas bawang putih (dikisar kasar)
10 biji cili kering (dikisar)
1 sb pes asam jawa Adabi dicampur setengah gelas air
1/2in belacan
4 sb gula
1/2 st garam
1/2 st ajinomoto
2-3 sb gula perang
Minyak masak secukupnya

Cara2nya
- Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih.
- Bila dah naik bau, masukkan cili kering. Dah masak masukkan gula, garam, ajinomoto secukup rasa.
- Kemudian hancurkan belacan terus kedalam masakan.
- Tambah air asam jawa.
- Masak sehingga sedikit kering.
- Kecilkan api dan gaul kerepek pisang kedalam kuali sampai sebati dengan sambal. Angkat dan ketepikan.
- Untuk garingkan kerepek kembali panaskan oven 150C.
- Tuang kerepek tadi kedalam loyang empatsegi. Rata dan jarak-jarakkan kerepek.
- Tabur gula perang sama rata diatasnya.
- Bakar selama 10minit. Tutup oven.
- Keluarkan loyang. Terbalikkan kerepek dan yang masih lembab, letak diatas.
- Masukkan tray kembali kedalam oven yang masih panas tadi dan set masa selama 10minit lagi.
- Keluarkan loyang dan biar kerepek sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara. Seelok- eloknya ketepikan yang mana masih lembik, jangan disimpan bersama yang sudah rangup.

Enjoy yo!!

Monday, September 7, 2015

BINGKA LABU

ADA terbeli labu hari tu. Memang tiada rancangan nak masak apa-apa. Tetapi sebab murah sangat sebab clearance sales di Giant (maaf tidak ingat pula harganya) jadi terbeli hehe.

Nasib orang rumah ada idea nak buat sesuatu. Jom tengok resepinya.





BINGKA LABU (BroZam)
resepi asal: Yatie Memories

Bhn2nya:

2 biji telur
2 cwn santan (200ml santan kotak dan selebihnya tambah air biasa)
1/2 cwn susu cair
2 cwn tepung gandum
1/2 cwn gula pasir halus
1/2 cwn susu pekat manis
1/2 st garam
1 st esen vanilla
2 sb mentega
2 cwn labu - yang telah direbus, toskan dan dilecek
bijan secukupnya untuk tabur di atas permukaan kuih

Cara2nya:
- Panaskan oven 180C.
- Sapukan loyang dengan sedikit mentega.
- Satukan bahan diatas kecuali labu dan bijan kedalam blender. Kisarkan dan kemudian tapis kedalam mangkuk besar.
- Masukkan labu yg telah di lecek, kacau hingga rata.
- Tuang dalam loyang dan tabur bijan diatasnya.
- Masukkan kedalam oven dan bakar 1 jam atau hingga masak. Kalau nak permukaannya berkerak, tambah masa pembakaran.
- Biarkan kuih betul-betul sejuk barulah di potong.

Enjoy, yo!

Saturday, September 5, 2015

KARI AYAM MAMAK

RESEPI kari ayam ni memang guna banyak minyak dalam 300ml.

Bagi yang menjaga kesihatan mungkin boleh mengurangkan minyak yang digunakan atau tukar saja ke resepi lain. Tetapi bagi yang mahukan selera seperti direstoren mamak boleh tengok dibawah. (Ini saya buat makan dengan roti puri dan juga roti jala tempohari).




KARI AYAM MAMAK (BroZam)

Bhn2nya:

1/2kg ayam - potong kecil
300ml minyak masak
10g rempah (bunga lawang, jintan manis, bunga cengkih, buah pelaga dan jintan putih)
1 biji bawang besar - hiris nipis
5 batang daun kari
1 biji tomato - potong empat
1 biji bawang putih - kisar
3in halia - kisar
900 + 200ltr air (dua bekas)
3 biji ubi kentang - potong empat setiap satu
3 peket serbuk kari ayam/daging (satu peket lebih kurang 24g)
1 peket kecil buah gajus - tumbuk kasar
1 sb garam

Cara2nya:
- Panaskan minyak didalam periuk
- Tumiskan bahan-bahan rempah sampai naik bau
- Masukkan bawang, tomato dan daun kari. Goreng seketika.
- Tambah ayam dan halia serta bawang putih yang telah dikisar. Gaul selama seminit dua.
- Sekarang masukkan 900ltr air dan perasakan dengan garam. Tutup periuk dan biarkan dalam 10minit.
- Masukkan ubi kentang dan serbuk kari. Kacau dan biarkan 15minit atau sampai kentang empuk.
- Tambah gajus dan 200ltr air. Kecilkan api dan masak dalam 5minit lagi.

Sedia dihidangkan, yo!!


Thursday, September 3, 2015

BIHUN GORENG PATAYA


SEDIKIT kelainan dihidangkan untuk penggemar bihun. Kali ini kita up sedikit bihun goreng menjadi bihun goreng pataya.

Resepinya sama sahaja seperti kita membuat bihun goreng bezanya setelah itu kita bungkus didalam telur kacau.

Cakap banyak tak mau, moh kita lihat terus ke resepinya.




BIHUN GORENG PATAYA (BroZam)

Bhn2nya:

1 bungkus bihun - direndam dahulu sejam sebelum ditoskan
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
Setengah gengam ikan bilis - dibasuh dan dikisar
10 tangkai cili kering - direndam dahulu
2 cawan air
8 sb kicap lemak
2 sb sos tiram
3 sb sos cili
Garam dan perasa jika suka
Udang, sotong atau/dan potongan ayam atau daging secukupnya
Taugeh dalam 50sen
Semangkuk daun sawi dan daun sup
Hiasan: cili merah dan bawang goreng
1 1/2 biji telur untuk sepinggan bihun

Cara2nya:
- Rendam bihun sehingga lembut. Angkat dan toskan.
- Kisar bawang besar, bawang putih, cili kering dan ikan bilis. Dicampur dengan dua cawan air
- Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sampai naik bau.
- Masukkan ayam, daging atau udang, sotong dan goreng sampai masak
- Masukkan sos tiram, sos cili dan kicap. Perasakan dengan garam dan perasa pilihan. Kacau sebati.
- Masukkan bihun yang sudah ditos tadi.
- Balik-balikan bihun sampai sebati dan lembut. Akhir sekali masukkan sawi, daun sup dan taugeh.
- Tabur bawang goreng atau daun sup untuk hiasan.
Untuk membuat bihun pataya, ambil dalam sepinggan bihun yang telah digoreng.
- Panaskan kuali bersih (seeloknya kuali bulat) dengan sedikit minyak. Buka api kuat dan bila minyak dan panas terus tutup api.
- Kacau 2 biji telur (tapi guna dalam 1 1/2 sahaja) dan terus tuang dalam kuali panas tadi sambil memusing-musingkan kuali untuk merata dan menipiskan lapisan telur. 
- Kena buat cepat-cepat. Kalau telur macam tak masak boleh hidupkan api sekejap dan padamkan balik.
- Letak bihun ditengah-tengah telur yang telah masak.
- Hujung telur dilipat menjadi empat penjuru, melitupi keseluruhan bihun.
- Ambil pinggan kosong, telangkupkan diatas telur dan terbalikkan kuali dan sambut secara berhati-hati.

Sedia dimakan, yo!!