Thursday, June 25, 2015

BEZA MENTEGA DAN MARGERIN

SATU artikel berinformatif bagi anda yang ingin tahu perbezaan antara mentega dan margerin. 

Sangat berguna terutama masa sekarang, di bulan Ramadhan, dimana ramai yang sedang atau akan membuat pelbagai kuih-kuih untuk jamuan raya nanti.

Dipetik Dari Utusan Online dan disimpan disini sebagai bahan rujukan saya dan pengunjung-pengunjung blog ini.


ARKIB : 08/11/2013

Mentega atau margerin

MINGGU ini saya akan mengupas topik kelebihan menggunakan mentega dalam makanan terutamanya produk pastri seperti kek dan biskut.

Seringkali ada segelintir orang yang keliru antara mentega dan marjerin. Jika dipandang sekali imbas, kedua-dua lemak ini memang karakternya hampir sama. Tetapi ternyata mempunyai perbezaan yang ketara jika digunakan dalam masakan.

Mentega merupakan produk industri susu kerana bahan utama pembuatannya berasal daripada lemak haiwan atau susu (80-82 peratus) yang diproses menjadi pepejal lemak.

Ini ditambah dengan bahan tambahan lain seperti air, garam dan pepejal susu (curd) selain diperkaya dengan vitamin A, D, E dan K yang tidak larut dalam air.

Mentega mampu memberikan rasa kenyang yang berpanjangan dan enak kerana itulah harganya sedikit mahal. Marjerin pula adalah pepejal lemak lembut yang diproses daripada minyak tumbuhan seperti sawit.

Kita boleh membezakan daripada warnanya. Warna mentega kekuningan pudar manakala marjerin warnanya kuning pekat. Di pasar raya mentega akan dibalut dengan bungkusan aluminium atau kertas dan dijual di bahagian sejuk dingin.

Ciri-ciri mentega adalah ia mempunyai aroma yang kuat dan tajam. Walaupun mentega juga boleh dicairkan dan dijadikan minyak untuk menumis dan menggoreng kacau, namun ia lebih sesuai untuk kek dan biskut.

Terdapat dua jenis mentega yang dijual iaitu yang bergaram dan tanpa garam.

Jika menggunakan mentega yang bergaram anda tidak perlu lagi meletakkan garam dalam kek atau biskut. Tetapi terpulanglah kepada anda jika mahu juga menambahkan garam, tetapi jangan berlebihan.

Mentega tanpa garam lebih berkualiti dan tahan lebih lama. Tetapi jika menggunakan mentega tanpa garam anda mempunyai pilihan untuk meletakkan garam mengikut sukatan yang anda suka dalam produk bakaran anda.

Apa pun terpulanglah kepada anda untuk memilih jenis mentega mengikut kesesuaian makanan yang ingin anda sediakan.

Sebenarnya menggunakan mentega asli dan segar membuatkan anda berasa puas hati dengan hasil bakaran. Mentega dapat menambah isipadu kek dan biskut selain dapat memberi rasa lemak dan lazat.

Kek yang menggunakan mentega pasti menjadi lembut dan gebu. Jika digunakan dalam biskut pula ia akan menghasilkan rasa rangup pada biskut.

Kelebihan seterusnya jika menggunakan mentega asli, aroma yang dihasilkan menjadi harum dan meningkatkan selera kita untuk menikmatinya.

Aroma yang wangi dan semerbak itu membuatkan ramai yang memilih untuk menggunakan mentega dalam masakan.

Walaupun harga mentega asli sedikit mahal terutamanya mentega tanpa garam tetapi apa salahnya menggunakannya jika hasilnya harum dan sedap.

Mentega adalah produk yang tidak tahan pada suhu panas. Ia mudah mencair berbanding dengan marjerin yang lebih tahan pada suhu persekitaran yang panas.

Jadi, sebaiknya anda perlu menyimpan mentega dalam peti sejuk supaya jangka hayatnya boleh tahan untuk beberapa bulan. Berikut adalah beberapa tip dalam kita memilih dan menggunakan mentega.

Pertama pilih mentega yang masih baik bungkusannya Jangan membeli mentega yang sudah terkoyak bungkusannya.

Elakkan menggunakan mentega yang sudah naik cendawan atau mempunyai bintik-bintik hitam. Jika anda tidak habis menggunakan mentega simpan dalam bekas yang bertutup dan simpan dalam peti sejuk.

Jangan dibiarkan ditempat yang panas atau terdedah pada cahaya matahari kerana ia mudah mencair.

Jika anda ingin menggunakan mentega untuk membuat kek atau biskut sebaiknya anda biarkan ia lembut dan barulah dipukul.

ArtikelPenuh: 

No comments:

Post a Comment