Monday, October 26, 2015

MAMEE MONSTER GORENG


LAPAR la pula masa-masa hujan begini. Lama dah teringin nak buat mende ni tetapi masa belum tiba lagi kot hingga lah ke hari ini.


Kebetulan, semua bahan-bahan ada jadi terhasil lah makanan yang simple dan berkhasiat ini. Berkhasiat la sangat kihkihkih.


Apa-apa hal, Alhamdulillah hujan memang ditunggu terutama disaat negara dilanda jerebu teruk. Setiap titik amat bererti dan semoga mampu mengurangkan ketidakselesaan yang dialami semua rakyat Malaysia. Aamiin.





MAMEE MONSTER GORENG (BroZam)

Bhn2nya:
5 bungkus Mamee Monster perasa ayam
1 keping dada ayam - dipotong kecil (buang tulang)
7 helai cili kering
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 cawan air
3 sb kicap cair
2 sb sos cili
1 biji telur
1 sb gula
4 bungkus seasoning yang ada dalam peket Mamee Monster tu
optional - sayur macam sawi, kobis atau taugeh jika mahu.

Cara2nya:
- Kisar cili kering, bawang besar dan bawang putih dengan secawan air.
- Panaskan minyak dan goreng sekejap potongan ayam. Angkat dan ketepikan
- Dalam kuali yang sama tumiskan bahan kisar sehingga air sedikit kering.
- Masukkan kembali ayam dan goreng sebentar.
- tambah kicap dan sos cili. Tambah gula dan biar sebentar.
- Masukkan terus Mamee Monster. Boleh juga direndam dengan air sekejap sebelum menggoreng tetapi saya suka masukkan terus kerana ada rasa ranggup bila memakan.
- Taburkan seasoning diatas dan gaul sebati.
- Kosongkan bahagian tengah (buat macam telaga) dan pecahkan telur. Kacau telur sampai separuh masak sebelum gaul sebati dengan mee.
- Boleh masukkan sayur tetapi budak-budak dirumah ni tidak suka makan sayur sangat. Nanti mesti diorang ketepikan so membazir je kalau letak.

Enjoy, yo!!

Friday, October 23, 2015

KULAT SISIR PUCUK UBI MASAK LEMAK TEMPOYAK

HARI ini, akhirnya budak-budak yang ada hidung ni pergi sekolah setelah empat hari tutup disebabkan jerebu dengan IPU sangat tidak sihat.

Tenang, lenang, senang dan relax bila mereka tiada dirumah diwaktu pagi. Kalau tidak boleh sakit kepala, dengan TV yang kuat, bergaduh, bermain, bergaduh balik...arghhhh.

Dah tenang ni boleh la buat kerja sedikit. Kemas sana, basuh sini dan update blog yang dah bersawangan ni...hehe

Sementara tu boleh belanja satu resepi... menggunakan bahan yg antara ter RARE pada masa ni, kulat sisir. 

So, kalau takde abam tak boleh nak nolong la ye haha.




KULAT SISIR PUCUK UBI MASAK LEMAK TEMPOYAK (BroZam)

Bhn2nya:

1 ikat pucuk ubi - sy ambil daun sahaja pastu hiris kasar
1-2 cawan kulat sisir kering
2 helai daun kunyit
4 batang serai
10 biji cili api
1 1/2in kunyit hidup
1 genggam ikan bilis
5 sb tempoyak
2 cwn santan pekat
2 cwn air
2 keping asam keping - kalau tempoyak dah masam tak payah letak pun ok
garam dan gula secukupnya.

Cara2nya:
- rendam kulat sisir 30mins sehingga kembang. Toskan.
- basuh dan toskan pucuk ubi yang sudah dipotong kasar. Tetapi ada juga yang lebih suka dihiris halus. Jadi terpulang pada selera masing-masing.
- Dalam periuk sederhana besar rebus 15mins kulat sisir dan pucuk ubi. Tos dan ketepikan. Seelok-eloknya direbus berasingan kulat sisir dan pucuk ubi kerana senang kalau nak masukkan berlainan masa semasa memasak nanti.
- Di dalam lesung batu, tumbuk cili api dan kunyit hidup hingga hancur. Kemudian masukkan ikan bilis dan tumbuk kasar.
- Didalam periuk yang sama, panaskan minyak sesudu dua. Tumis bahan tumbuk tadi sehingga naik bau.
- campakkan serai dan gaul sekejap
- Masukkan santan, asam keping, tempoyak dan kacau diatas api sederhana. Biar sekejap.
- Boleh tambah pucuk ubi dan kulat sisir. Kacau dan biarkan sehingga mendidih.
- Nota: Kalau nak kulat sisir lebih terasa, saya lebih suka masukkan lagi lima minit sebelum tutup api sebab kulat akan masih terasa kenyal (dan tidak empuk).
- Perasakan dengan garam dan gula (jika tempoyak masam, lebih sedap tambah gula sikit).
- Masak ikut kepekatan yang dikehendaki.

Selamat mencuba, yo!

Wednesday, October 21, 2015

KENTANG WEDGES

BEBUDAK ni kalau ada dirumah, sakit gak kepala, gaduh, main, gaduh balik, pastu baik pastu kejap lagi ada yang menjerit, menangis.

Ni la akibat bila bercuti tidak dirancang. Cuti-cuti jerebu dah dua hari dah.

Pastu dah penat main, laporrrrrr. Yang papa ni pergi la kedapur tengok apa-apa yang boleh dibuat segera. 

Ada kentang, ada tepung, ada sedikit lagi benda lain...boleh lah kita buat Kentang Wedges ni.




KENTANG WEDGES (BroZam)

Bhn2nya:

1kg kentang
2 kiub pati ayam
1/2 - 1 sb garam
Tepung gandum
Serbuk Lada Hitam
Serbuk cheese Knorr

Cara2nya:
- Basuh bersih-bersih kentang. Guna berus lembut untuk buang tanah dan kotoran yang melekat kerana kita akan goreng dengan kulitnya sekali
- potong kepada lapan bahagian setiapl satu
- Rebuskan kentang didalam air bercampur garam dan pati ayam.
- Buat sampai separuh empuk, angkat dan toskan.
- Panaskan minyak secukupnya didalam deep fryer atau kuali
- Dalam bekas, gaulkan tepung gandum dan serbuk lada hitam. Yang bahagian ini kena agak-agak sendiri.
- Kemudian masukkan kentang dan gaul tepung sampai melitupi kentang. Buat berhati-hati supaya kentang tidak patah/penyek dan sebagainya.
- Goreng wedges sehingga warna agak keperangan, angkat dan toskan.
- Sebagai bahan tambahan saya tabur serbuk cheese Knorr diatas semasa masih panas-panas.
- Boleh dihidang bersama sos cili dan mayonis.

Enjoy yo!!

Tuesday, October 6, 2015

POTATO LOAF

SEPERTI dijanjimaniskan sebelum ini hehe... ini dia resepi Potato Loaf yang dibuat dengan breadmaker.

Nak bagitau ni, jam yang disapu tu pun homemade dan dibuat guna BM juga. Klik disini untuk resepi jem oren (marmalade).

Tetapi seperti roti loaf yang lain-lain dibuat menggunakan BM, jangan mengharapkan roti jadi selembut atau segebu roti yang diuli samaada menggunakan mixer atau tangan dan kemudian dibakar didalam oven ye. 

Texture loaf menggunakan BM terasa lebih kenyal dan kurang lembut tetapi masih boleh diterima oleh tekak ini. 

Kelebihan utama, masuk sahaja semua bahan dan kita boleh buat kerja lain atau pun berehat seketika sebelum menikmati hasil usaha kita ni. Dalam erti kata lain tau-tau aje dah siap sebiji roti hokay!! :) :)




POTATO LOAF (BroZam)

Bhn2nya:

3 cawan tepung roti
1/3 cawan potato flakes
1 1/3 cawan air
1 sb minyak masak
1 - 2 st serbuk parsley
1 st gula
2 st yis
1 st garam

Cara2nya:
- Masukkan air, gula dan yis didalam bekas BM. Biarkan seketika sehingga nampak air berbuih.
- Ayak tepung dan campurkan dengan potato flakes. Masukkan kedalam BM.
- Tambah semua bahan-bahan lain.
- Set BM pada mode 1 dan tekan butang mula.

3 jam kemudian sedia dimakan, yo!!

Monday, October 5, 2015

UDANG LIPAN MASAK MENTEGA BERKUAH

TERUS terang saya katakan ini kali pertama siang, masak dan makan udang lipan. Sebelum ini selalu juga terserempak dipasaraya tetapi tidak terlintas nak cuba. Maklumlah sudah lah namanya lipan tetapi memang rupanya pun macam binatang tu.

Tapi sekarang ini saya rajin nak cuba pelbagai jenis haiwan yang tidak pernah dirasa sebelum ini. Dalam senarai termasuklah landak, belangkas dan juga belut. Insyallah, dalam masa terdekat saya akan cuba belangkas dahulu. Tadi ada nampak orang jual di pasar tani tetapi kerana masih hidup dan tidak tahu siang saya tidak jadi beli. Tetapi saya ada bagi cadangan pada abang yang jual tu untuk lain kali buat demo cara-cara nak siang dan kalau boleh bakar/masak sekali hehe. Dia setuju.

Tapi tu cerita lain.

Udang lipan ni saya sudah beli malam semalam. Cadang nak masak hari ini jadi semalam saya pun gigih menGoogled mencari cara-cara bagaimana hendak siang udang ini. Selain dari rupanya, satu lagi beza udang ini dari yang udang biasa ialah kulit nya lebih tajam. 


Selain dari cara-cara siang, informasi pasal udang lipan dan juga resepi-resepi lain boleh rujuk blog ini
udanggaloh.blogspot.com

Tapi saya punya la malas dengan kepala-kepalanya saya buang. Insyallah, mungkin lain kali buat lebih baik lagi.

Anyway, resepi yang saya guna adalah diadaptasi dari resepi butter prawn.



UDANG LIPAN MASAK MENTEGA BERKUAH (BroZam)

Bhn2nya:
4 biji kuning telur
90g mentega Buttercup
1/2 st serbuk kunyit
250g udang lipan
4 ulas bawang putih - ditumbuk kasar
6 biji cilipadi - ditumbuk kasar
2 dahan daun kari - ambil daunnya sahaja
1/2 cwn air
8 sb susu cair
gula secukupnya


Cara2nya:
- Mula-mula pukul kuning telur sedikit didalam sebuah mangkuk.
- Panaskan mentega didalam kuali. Api sederhana
- Guna tangan kiri untuk tuang kuning telur sedikit demi sedikit kedalam setelah mentega cair sepenuhnya. Sambil tuang sambil tangan kanan mengacau sentiasa telur ikut lawan jam menggunakan senduk kayu.
- Tujuannya untuk mendapatkan tekstur telur hancur yang berjela/kirai.
- Selepas itu terus masukkan serbuk kunyit. Tetapi tangan kanan teruskan mengacau. Setelah sebati tutup api dan terus angkat kedalam tapis besi untuk toskan minyak mentega. Ketepikan.
- Didalam kuali lain, panaskan sedikit minyak masak.
- Tumis bawang putih dan cilipadi yang telah ditumbuk tadi sehingga naik bau.
- tambah serbuk kunyit dalam 1/2 st jika mau. Tambahkan air (sehingga 1/2 cwn jika perlu)
- Kacau dan tambah susu cair.
- Boleh masukkan udang lipan, daun kari dan juga separuh dari telur yang telah digoreng tadi (separuh lagi disimpan untuk hiasan).
- Masak sekejap dan boleh perasakan dengan gula. Garam tidak perlu kerana mentega buttercup sudah masin.
- Angkat kedalam pinggan dan gaulkan dengan telur yang selebihnya.


Sedap, yo!!

Saturday, October 3, 2015

GARLIC LOAF

INI adalah roti loaf pertama yang saya buat menggunakan breadmaker. Saya pernah upload resepi ini dalam bulan May.

Kerana bulan ini bulan resepi roti/bun, saya rasa sesuai jika resepi ini dipindah ke sini. Apa yang saya cerita pada masa itu, saya juga copy and paste dibawah :)

HUK ALO! Dua kali plak kena buat. Tadi tengah dalam proses membakar tetiba elektrik padam pulok. Oppss, bukan tak bayar bil tapi ada pemasangan baru didepan.

Kejadian pertama jadi lah loaf bantat. Err, gambar takde, malas (ke malu :) nak ambil. 

Nak mention, ini kali pertama cuba buat loaf sebab almaklum, baru dapat breadmaker. Guna resepi original yang terdapat didalam manual dengan sedikit olahan supaya sesuai dengan citarasa saya.





GARLIC LOAF (BroZam)

Bhn2nya:

1 1/2 cawan air
2 st yis
2 sb minyak zaitun
1 1/2 st garam
1 sb bawang putih - yang di blend
3 cawan tepung roti
1 sb gula
3 sb serbuk parmesan cheese
3/4 st mixed herbs (oregano/tyme/basil)
3/4 st serbuk lada hitam

Cara2nya:

1. Blend bawang putih, minyak zaitun, garam dan 1/2 cawan air (ambil dari 1 1/2 c air tadi). Blend sampai bawang hancur dan ketepikan.
2. Masukkan air selebihnya kedalam bread pan. Juga masukkan yis dan gula. Kacau dan biar seketika.
3. Ayak tepung terus kedalam bread pan. Tambah mixed herbs dan serbuk lada hitam
4. Akhir sekali masukkan campuran bawang putih.
5. Pilih Basic programme (no.1) dan tekan Start.

Insyallah, 3 jam kemudian jadi lah macam dalam gambar, yo!








Friday, October 2, 2015

SERIKAYA PANDAN (guna breadmaker)


BARU-baru ini ada tertengok di Facebook orang buat roti titab. Ni basically roti bakar diletak telur separuh masak ditengah dan disetiap penjuru sesudu serikaya. Berasal dari sebuah kopitiam di Kelantan.

Memang senang nak buat tapi seperti biasa saya tidak berapa suka buat yang senang-senang hehe. Jadi kita "up" sikit nak guna homemade serikaya dan homemade roti bengali. Dan paling best resepi gunakan breadmaker jadi boleh masukkan semua bahan, tekan butang on dan tunggu siap aje :)

Hari ini hari Jumaat, kebanyakkan kedai runcit disini akan tutup pada waktu tengahari. Alhamdullilah.

Bahan-bahan semua dah ada kecuali satu lagi, yang sememangnya penting, daun pandan tiada. Dulu ada tanam tetapi bila sekarang tiada tempat. Mungkin boleh tanam dalam pasu tetapi itu cerita kemudian.

Start motor, pergi ke kedai yang jauh sedikit. Tanya pekedai, katanya tiada menjual daun pandan la pulak. Nampaknya kena pergi cari ditempat lain. Tetapi kalau sudah rezeki Insyallah tidak kemana. Kebetulan jiran sebelah kedai datang nak membeli barang dan dia terdengar saya mencari pandan. Dia terus suruh saya ambil dekat depan laman rumahnya. Segan juga tetapi dia kata tidak apa, bila-bila pun boleh datang ambil. Percuma.

Saya ucap terima kasih dan janji nak bagi sikit apa yang saya akan buat nanti. Insyallah, kalau sempat esok saya nak bagi sikit serikaya ni.




SERIKAYA PANDAN (BroZam) - breadmaker

Bhn2nya:

1 cawan santan
4 biji telur B
1 - 1 1/2 cawan gula (ikut citarasa hendak manis atau kurang manis)
8 helai daun pandan - basuh bersih2
Secubit garam

Cara2nya:
- Basuh bersih-bersih daun pandan dan ikat simpul empat helai (dapat dua ikat)
- telur disatukan didalam mangkuk dan cuma dikacau sedikit
- masukkan semua bahan kedalam tin breadmaker.
- set mode kepada "Jam" (no 9)
- dalam sejam buka penutup breadmaker (jangan padamkan fungsi jem) dan dengan menggunakan senduk tolak bahan-bahan yang melekat disekeliling dinding ke dalam bancuhan.
- Selepas BM stopped, serikaya nampak macam berketul-ketul sedikit. Ini normal. Untuk dapatkan tekstur yang licin, perlu di blend/kisar sekejap didalam blender.
- Selepas itu kita perlu tapis kerana nanti boleh lihat banyak pecahan daun pandan yang termasuk sekali didalam jem.

Sedia untuk disapu, yo!